Si isteri sakit tenat masuk ICU, suami marah gara-gara tak dapat tidur anak meragam



"Doktor, saya nak mintak balik rumah hari ni boleh? Suami dan mak mertua saya dah bising, anak saya dah dua malam asyik menangis tak mau tidur."

Tersentak saya mendengar permintaan itu.

Ibu muda beranak empat ini sedang mengandung anak kelima mereka. Usia kandungan 28 minggu. Dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) disebabkan jangkitan kuman di dalam darah iaitu Sepsis.

Betapa rapinya rawatan di sini sehingga setiap denyutan nadi pesakit diperhatikan. Sehingga setiap titik air yang keluar masuk daripada badan pesakit juga dikira. Tiada pesakit yang tidak tenat saja-saja untuk dimasukkan ke dalam ICU.

Setakat sakit biasa-biasa, tidak perlu rujuk kepada Pasukan Bius & Rawatan Rapi. Hanya bila keadaan pesakit kritikal sahaja yang perlu rujuk.

"Maaf Puan, kami tak boleh benarkan. Keadaan Puan masih kritikal."

Demamnya masih tinggi iaitu 39.6C.


Nafasnya laju kerana darahnya berasid disebabkan jangkitan kuman lalu paru-paru bekerjasama dengan buah pinggang untuk mengurangkan tahap asid dalam darah.

Tekanan darah juga rendah dan  memerlukan ubat sokongan.

Jantung berdenyut sangat laju.

Kuman juga hidup riang di dalam sampel darah pesakit yang diambil.

Antibiotik yang diberikan untuk membunuh kuman pun baru dua tiga hari diberikan kepada ibu berkenaan.

"Susah doktor.. anak saya tu baru setahun, dia memang menyusu badan dan tidur dengan saya malam-malam. Dia tak mahu dengan suami atau neneknya.."

"Adik, awak ni masih letih, bernafas pun laju tercungap-cungap perlu oksigen..macamana awak nak balik rumah?"

Dia terdiam. Angguk.

"Boleh ke doktor terangkan kepada suami dan mak dia? Tadi mereka datang marah-marah saya sebab saya tak sihat dan tak boleh balik rumah lagi.."

"Boleh adik. Nanti saya bercakap dengan mereka. Adik berehat lah dulu ya? Jangan fikir banyak sangat..kesihatan awak tu lebih penting..Doa minta Allah mudahkan semuanya, ok?"

Begitulah nasib seorang isteri dan juga seorang ibu yang baik. Hal kepentingan dirinya sentiasa diketepikan untuk sementara. 

Dah lah sedang mengandung, sakit tenat sampai kena masuk ICU, anak menangis di rumah pun suami nak dia settle kan juga??

Apa guna si suami menjadi seorang bapa jika masih meminta isteri melakukan semua perkara walaupun dalam keadaan sakit?

Cuba fikir secara mendalam, lagi susah ke lagi senang hidup si suami kalau memaksa si isteri balik rumah dalam keadaan yang tidak sihat dan bagaimana jika keadaan dia makin teruk sehingga tidak dapat diselamatkan?


Jangan hanya kerana si suami tidak dapat tidur malam disebabkan anak meragam, si suami akan hilang isteri buat selamanya dan anak-anak juga turut kehilangan ibu kandung mereka. 

Kekuatan isteri ada batasnya dan sanggup berkorban apa sahaja. Si suami tunaikanlah janji untuk bersusah senang, sehidup semati bersama-sama isteri.

Kerja suri rumah sungguh memenatkan. Isteri seorang sahaja yang buat memang tak cukup tangan dan memerlukan bantuan suami.

Kalau mampu carikan pembantu untuk isteri, lakukanlah. Jika tidak, awak sebagai suami sepatutnya tolong dia menguruskan rumah . Awak sebagai bapa juga perlu tolong uruskan anak-anak.

Anak nak ada ramai-ramai. Setahun dua dah nak tambah anak. Isteri awak buat macam dia orang gaji. Bila dia tak sempat urus diri, kurang menarik awak pergi cari tarikan dekat tempat lain.

Sedangkan masalah ni bermula puncanya daripada suami yang tidak menunaikan tanggungjawabnya dengan betul. 

Dalam setiap perkahwinan ini harus ada semangat kerja berpasukan dengan saling bantu membantu, saling bertolak ansur, saling memahami, tidak mementingkan diri sendiri, tidak menjulang ego sendiri, sentiasa mempunyai komunikasi yang baik terutama di antara suami dan isteri.

Mohon layan si isteri dengan baik dan adil. Jangan biar si isteri merana dalam diam. Dia boleh bersabar namun ada hadnya.

Isteri boleh redha dengan nasibnya di dunia. Sebab dia tahu, Allahpasti berikannya pilihan di akhirat untuk kekal bersama dengan suami ataupun pilih yang lebih baik.

Kredit : Dr Zurairah Shahidan.

0 Comments