Utusan bakal tamat beroperasi, tidak mampu bayar gaji pekerja


Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berdepan risiko penutupan operasi sekiranya gagal menjual aset dalam tempoh beberapa minggu ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia, Mohd Taufek Razak berkata, hasil perbincangan dengan pengurusan tertinggi syarikat akhbar itu memaklumkan jika aset-aset milik Utusan tidak terjual dalam tempoh terdekat ini, tidak ada jalan lain selain menutup operasi Utusan Malaysia.

"Pagi tadi kami (NUJ) bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Utusan Malaysia, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir di Jabatan Perusahaan, Kementerian Sumber Manusia, menurutnya mereka akan menutup operasi Utusan, kerana tidak mahu lagi menanggung beban.

"Mereka (pengurusan) buat keputusan, Utusan memang tak ada duit untuk bayar gaji, gaji tertunggak dan gaji masa depan. Mereka tiada wang dan gagal lupuskan aset Utusan yang ada," katanya pada sidang media selepas piket di pekarangan Utusan Malaysia Isnin lalu.

Mohd Taufek yang juga Pengerusi NUJ Cawangan Utusan Melayu turut memberitahu, aset Utusan tidak boleh dijual kerana kebanyakan bangunannya tidak ada Sijil Layak Menduduki (CF).

"Semasa UMNO memerintah, mereka tak ambil peduli, tapi bila UMNO- Barisan Nasional (BN) dah jatuh, nak jual aset tak boleh, kena kelulusan bomba dan bursa saham. Tak boleh jual selagi CF tak boleh selesai.

"Malah, Abd Aziz juga memberitahu dalam pertemuan tadi bahawa dia tak boleh buat apa-apa, dia juga kata nak lepas jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif Utusan," ujar Mohd Taufek.

Beliau berkata, buat masa ini tiada sebarang bantuan daripada pimpinan UMNO yang selama ini berpayung dan mencipta nama dengan menggunakan medium Utusan sebagai alat propaganda politik.

"Mereka ugut kami akan tutup Utusan, tak nak lagi beroperasi sebab tak ada duit. Setakat ini UMNO pun tak beri maklumat untuk membantu Utusan terus hidup sebab UMNO juga tidak ada wang.

Sebahagian kakitangan Utusan Malaysia menuntut bayaran gaji yang berbulan-bulan tertunggak. Foto: Sinar Harian
"Kami merayu kepada UMNO, ahli UMNO bantulah kami, pekerja yang kami banyak berjasa membantu UMNO sebelum ini untuk melihat nasib kami. Kalau tak nak bantu, juallah saham, supaya kami boleh hidup, Utusan boleh hidup dan kami boleh terus bekerja," katanya.

Sementara itu, Mohd Taufek berkata, sekiranya Utusan Melayu ditutup ia merupakan satu tamparan kepada orang Melayu.

"Utusan wujud 80 tahun lalu. Kalau ditutup ia macam tutup suara orang Melayu. Ini satu langkah mengecewakan.

"Walaupun tak bergaji kami masih terus bekerja, sebab semua kakitangan masih sayangkan Utusan. Mereka mahu terus bekerja tapi tak dapat gaji," jelasnya.

Salah seorang pereka grafik Utusan, Nik Hasmazi Hassan berkata, ada kakitangan Utusan yang terpaksa meminjam daripada ah long untuk makan.

"Ada antara kami yang terpaksa pinjam ah long, semata-mata untuk makan, sehina itu kami kakitangan Utusan Melayu.

"Sudah 23 tahun saya bekerja di sini, macam-macam bentuk jatuh bangun saya dah saksikan tapi ini yang paling teruk," katanya.

Sumber: Sinar Harian

0 Comments